Tempat menarik di Jelebu ini mungkin sesuatu yang jarang dihebahkan. Jelebu, sebuah pekan yang terletak di Negeri Sembilan, merupakan daerah kedua terbesar negeri itu.
Daerah Jelebu ini masih lagi kekal dengan alam semulajadinya. Tidak banyak pembangunan yang mencakar langit menjadikan ianya sangat indah dengan keaslian alam yang penuh kehijauan dan warna warni flora fauna.
Keunikan Jelebu ini menjadikannya kaya dengan pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati dan dikunjungi.
Kandungan
Tempat Menarik Di Jelebu Yang Wajib Dikunjungi
1- Jeram Toi
Jika korang berhasrat mencari tempat beriadah yang cukup mengujakan dan mudah diakses, datanglah ke Jeram Toi.
Jeram Toi terletak di Hutan Simpang Berembun. Dengan jarak sejauh 28 kilometer dari Seremban atau kira-kira 30 minit perjalanan, lokasi untuk beriadah bersama keluarga ini menanti untuk dilawati.
Apa yang specialnya tentang Jeram Toi ialah ia mempunyai air terjun empat tingkat yang mengalir melalui Sungai Batang Toi. Terdapat juga laluan trek untuk mendaki ke Gunung Telapak Buruk.
Bagi yang bekeluarga, terdapat kolam mandi dan papan luncur yang sesuai untuk anak-anak.
Suasana Jeram Toi yang dikelilingi hutan ini memberikan pengunjung satu perasan tenang yang sukar diungkapkan. Sesuai bagi mereka yang mahu tenangkan fikiran dan lari sebenttar dari kesibukan tempat kerja.
Bagi memberikan keselesaan kepada tetamu yang datang berkunjung ke Jeram Toi, kemudahan seperti surau, tandas, bilik persalinan dan gerai-gerai makan juga disediakan.
2- Muzium Adat ; Tempat Menarik Di Jelebu
Nak tahu tentang adat-adat yang ada di negara Malaysia? Korang wajib datang ke sini.
Negeri Sembilan dipilih sebagai tempat pertama muzium sebegini diadakan kerana ianya sesuai dan tepat dengan Negeri Sembilan yang beridentitikan Tanah Beradat.
Tujuan ditubuhkan muzium ini untuk menghimpunkan beberapa aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang boleh dianggap sebagai adat.
Terdapat empat galeri yang memberikan info dan gambaran tentang keunikan adat-adat yang ada di Malaysia khasnya di Negeri Sembilan. Negeri Sembilan sendiri terkenal dengan adat perpatih yang unik dan menarik untuk difahami.
Muzium ini turut menyediakan satu segmen khusus mengenai Adat Perpatih bagi menonjolkan Negeri Sembilan sebagai negeri beradat.
Korang datanglah ke sini untuk belajar dan tahu lebih lagi tentang adat-adat yang ada di bumi bertuah, Malaysia ini.
3- Rumah Gadang Budi
Kecantikan Rumah Gadang Budi ini pasti akan memukau pandangan korang yang bertandang ke daerah Jelebu ini.
Rumah Gadang Budi merupakan sebuah rumah kayu lama dengan rekabentuk senibina asli Minangkabau.
Rumah ini dahulunya terletak di Gunung Pasir, Sri Menanti. Kemudiannya rumah ini dipindahkan ke Kampung Kagu yang mempunyai pemandangan indah dan permai.
Ini menjadikannya tersergam indah dikelilingi bukit bukau, sawah padi dan dusun buah-buahan.
Untuk yang suka makan-makan sambil berfoto, korang boleh singgah di kafe instagrammable ini.
4- Masjid Kampung Dulang
Masjid Kampung Dulang merupakan masjid tertua yang ditubuhkan di daerah Jelebu. Ianya diasaskan oleh Dato’ Nika dan Mudim Khatib Raja yang berasal dari Minangkabau pada awal abad ke-16.
Terletak di Kampung Peninjau yang jaraknya kira-kira 0.5 kilometer dari Pekan Klawang.
Sejarah dan cerita di sebalik adanya masjid ini juga cukup unik dan menarik. Selain pembinaan awalnya yang tidak menggunakan paku, terdapat satu satu peristiwa yang aneh berlaku di masjid ini.
Dikatakan pada satu ketika dahulu terdapat sebuah dulang aneh yang sentiasa berisi makanan yang cukup untuk semua jemaah telah terhidang. Tiada seorang pun tahu dan mengaku tentang siapa yang menyediakan makanan tersebut.
Peristiwa aneh ini berterusan untuk beberapa ketika sehinggalah suatu hari dulang hidangan makan tersebut ghaib secara tiba-tiba. Dari peristiwa dulang yang pelik ini, masjid ini akhirnya mendapat namanya iaitu Masjid Kampung Dulang.
Sehingga ke hari ini, masjid ini masih lagi aktif digunakan. Beberapa perubahan terhadap masjid ini telah dilakukan, namun keaslian strukturnya masih menampakkan keaslian asal masjid ini.
5- Tempat Menarik di Jelebu : Jeram Gading
Tempat menarik di Jelebu seterusnya terletak 23 kilometer dari Kuala Klawang, Jeram Gading terletak dalam Mukim Kenaboi. Tempat ini dipercayai mendapat nama sebagai Jeram Gading kerana kehadiran gajah yang banyak di sekitar kawasan ini.
Dengan landskap yang cantik dan indah, tarikan utama di Jeram Gading ini ialah air terjunnya. Air yang mengalir cukup jernih dan memberikan rasa ketenangan yang amat sangat ketika berada di sini. Satu tempat yang ideal untuk aktiviti perkelahan bersama keluarga.
6- Tebat Sanctuary
Suasana sekali pandang seakan berada di Bukit Tinggi, Indonesia. Rupa-rupanya di Peradong, Jelebu Negeri Sembilan.
Tebat Sanctuary merupakan tempat berehat dan bersantai dengan berkonsepkan gaya kampung.
Di sini korang boleh pilih nak menginap di penginapan ala open air atau di dalam dorm. Kalau nak feeling masa tidur waktu raya di kampung atok, boleh lah pilih untuk tidur beramai-ramai di atas hamparan tikar.
Kalau rasa tak selesa begitu, pilihlah untuk menyewa di dorm-dorm yang tersedia.
Teringin nak berendam? Terdapat kolam yang dipenuhi air sungai dan jika korang ingin sesuatu yang lebih mencabar, korang boleh ‘hiking’ selama 20 minit ke air terjun berdekatan.
Sesuai untuk korang yang sukakan aktiviti-aktiviti santai dan mencabar sebegini. Pasti jadi satu pengalaman yang menarik untuk korang.
7- Glamping @Kongkoi
Konsep glamping atau glamor camping semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat Malaysia. Bagi meraikan kemeriahan konsep glamping ini, satu glamping diberi nama Glamping”Kongkoi dibina dengan keluasan lebih kurang 10 ekar dan terletak di Kampung Puom, Titi.
Di sini korang boleh berkhemah dengan suasana yang lebih selesa. Nikmati alam semulajadi dengan keselesaan yang optimum pasti lebih menarik.
Glamourous camping atau singkatannya glamping kini kian mendapat tempat di Malaysia. Dengan konsep glamping, kita semua boleh enjoy nature dengan keselesaan yang lebih optimum.