Air Telaga Tujuh Langkawi

Sumber: Foursquare

Hampir semua tempat menarik di Langkawi wajib dilawati dan dijelajahi. Tetapi pernah tak korang ke Air Telaga Tujuh Langkawi (The Seven Wells)? Ia terletak di tebing Gunung Mat Chinchang, berada di bahagian Barat Laut Pulau Langkawi dan 23 kilometer dari Pekan Kuah.

Tempat ini lebih popular di kalangan pelancong luar negara, mungkin kerana kita rakyat Malaysia sudah biasa dengan tempat rekreasi sungai dan air terjun yang banyak terdapat di negara ini.

Korang boleh klik kat sini untuk pandu arah ke lokasi: https://goo.gl/maps/o5AuSPxEUrM5Pv9v8

Korang tau tak kenapa tempat ni dipanggil Air Telaga Tujuh?

Ini kerana terdapat mata air daripada Sungai Perangin di puncak Gunung Mat Chinchang yang mengalirkan airnya yang jernih lalu menghasilkan tujuh tingkat kolam semulajadi disertai air terjun yang deras dan memukau.

Sumber: JomJalan

Langkawi ni kan sangat terkenal dengan cerita-cerita lagenda.

Terdapat tiga tempat yang dikaitkan dengan wanita iaitu Kampung Mawar dengan Lagenda Sumpahan Mahsuri, Tasik Dayang Bunting dengan Lagenda Putri Dayang Sari dan Air Telaga Tujuh pula dikaitkan dengan kisah tujuh puteri kayangan.

Bila dah sampai Langkawi, wajib terjah tempat makan sedap di sini

Menurut penceritaan, telaga-telaga tersebut merupakan lokasi mandian kegemaran tujuh orang puteri dari kayangan. Tempatnya yang cantik, airnya yang sejuk dan bersih sangat disukai oleh puteri-puteri ini.

Dihikayatkan, berdekatan dengan telaga-telaga itu juga tinggal seorang putera raja yang cuba memikat dan ingin menyunting salah seorang daripada puteri-puteri tersebut namun hajatnya masih tidak kesampaian hingga kini.

Ada juga yang mempercayai bahawa air di telaga-telaga dan juga pokok limau sintuk yang ditinggalkan oleh puteri-puteri kayangan tersebut mujarab untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Sumber: traxxfm

Bagi yang ingin menjelajahi tempat ini, beberapa informasi haruslah diketahui terlebih dahulu.

Ini untuk memastikan kunjungan korang menjadi satu kenangan yang indah, berbaloi dan yang penting, korang selamat.

Terutamanya ketika melakukan aktiviti pendakian dan mandi-manda dicelah-celah batu yang licin.

Kawasan ini boleh diakses dengan kereta, motorsikal atau teksi.

Bayaran parkir sebanyak RM2 dikenakan untuk kereta dan RM1 untuk motorsikal. Tiada caj masuk dikenakan, percuma je.

Korang disarankan supaya datang pada awal pagi atau petang kerana kebiasaaannya pada waktu ini pengunjung tak ramai.

Sumber: Fotosquare

Dinasihatkan hanya membawa keperluan riadah yang perlu sahaja memandangkan pendakiannya mengambil masa lebih kurang 30 minit sehingga sejam untuk sampai hingga ke telaga yang ke tujuh.

Seeloknya, pakailah kasut yang selamat, bawalah tongkat sokongan dan alatan yg sesuai terutamanya jika ingin membuat aktiviti ‘jungle trekking’.

Ada lebih 700 anak tangganya untuk didaki. Kepada yang larat dan inginkan cabaran, jomlah mendaki hingga ke telaga paling atas!

Sumber: Facebook

Kepada yang hanya nak berehat-rehat dan tak mahu berpeluh-peluh sangat, Telaga Pertama sesuai untuk keluarga berkelah, mandi manda dan beristirehat sambil menikmati panorama hutan yang pelbagai tona warna hijau serta mendengar bunyi-bunyian serangga.

Yang inginkan seakan-akan berada di puncak gunung dan menjamu mata melihat seluas alam yang menakjubkan, naiklah ke Telaga Tujuh. Ramai pengunjung yang pernah bertamu di puncak mengungkapkan kekaguman dan terpukau dengan keindahan yang jarang-jarang dapat dilihat.

Rata-rata pengunjung menghabiskan masa antara 2-4 jam berada di sini. Tempat ni juga memang selesa untuk berlama-lama sebab ada kemudahan seperti surau, tandas awam, gerai makanan dan restoran.

Sumber: Facebook

Oleh kerana Pulau Langkawi adalah pulau yang kecil, maka tiada masalah untuk mencari tempat penginapan. Paling jauh menginap di Pekan Kuah pun boleh sampai di Air Telaga Tujuh kurang daripada setengah jam.

Bagi percutian ekonomi, terdapat banyak rumah inap di kawasan tersebut, sehinggalah resort dan hotel mewah untuk kepada yang mahu berbelanja lebih.

Sumber: Airpaz Blog

Ada beberapa syarikat perlancongan tempatan menawarkan khidmat lawatan bersama pakej jelajah Air Telaga Tujuh dengan harga yang menarik. Dizaman segalanya dihujung jari ini, pakel jelajah ini boleh ditempah awal menerusi atas talian sebelum korang tiba di Pulau Langkawi.

Sumber: Kembara Alam

Di dalam berseronok tu, korang dinasihatkan sentiasalah berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh penjaga kawasan di sini.

Saban tahun dilaporkan banyak tragedi kematian, lemas, terjatuh, tergelincir, terkandas dan sesat yang melibatkan pelancong luar dan dalam negara.

Selalulah berwaspada dengan keadaan cuaca terutamanya pada musim dan waktu hujan kerana dibimbangi fenomena kepala air yang deras berpotensi menyebabkan tragedi.

Jauhi perbuatan khurafat dan janganlah mengotorkan ‘hadiah’ yang diberikan ini.

Comments (0)
Add Comment