Planetarium Negara adalah ikon nasional kebanggaan negara. Bangunan berkubah biru ini siap dibina pada tahun 1993 di puncak bukit Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur dengan keluasan 11,000 meter persegi.
Ia merupakan tempat yang sangat popular dikunjungi oleh murid-murid sekolah, sesuai dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia terhadap program sains angkasa lepas.
Bagi korang yang pernah melawat mungkin kadang-kadang ingatan tu terkeliru dengan bahan pameran di Pusat Sains Negara dan Petrosains di KLCC kan?
Tapi perbezaan istimewa Planetarium Negara dengan tempat-tempat tersebut ialah panggung wayangnya yang berbentuk kubah dan pengalaman seolah-olah turut sama berada di alam angkasa lepas.
Kalau korang tak merasai pengalaman ini, kira macam tak sempurnalah kunjungan korang ke sini.
Antara tarikan lain ialah ‘Space Flight Simulator’ (Space Pod) yang memberi pengalaman angkasawan sebenar seperti Datuk Sheikh Muszaphar Shukor ketika latihan sebelum ke angkasa lepas.
Simulator anti graviti juga dipamerkan dan wajib korang cuba.
Ia seperti kapal yang boleh membawa korang ke angkasa untuk melihat bintang, tetapi korang bakal merasakan cabaran apabila tarikan vakum yang membolehkan korang terapung seperti realiti.
Susun atur bahan pameran di sini amat tersusun dan memudahkan korang memahami satu demi satu disiplin astronomi daripada kejadian planet dan alam semesta hinggalah penciptaan teknologi penerokaan angkasa untuk masa depan.
Replika Mini Stone Henge yang terdapat di luar Planetarium Negara.
Jam matahari (The Merdeka Sunclock) yang terdapat di Planetarium Negara.
Sejarah penerokaan angkasa lepas juga diceritakan dengan padat di sini.
Pendek kata korang datang dan lihatlah sendiri apa lagi yang ada di Planetarium Negara ini, hinggakan taman tema kanak-kanak berkonsepkan aero-angkasa pun ada.
Bawalah anak-anak korang ke sini, mana tau minat terhadap ilmu angkasa akan bercambah. Kalau anak-anak korang memang sejenis minat dengan planet-planet, kapal angkasa dan suka tonton filem sci-fi, elok lah bawa diorang ke sini untuk pendedahan dunia sebenar.
Mudah je untuk ke Planetarium Negara. Korang hanya cari Taman Tasik Perdana atau Muzium Negara, maka korang akan nampaklah papan tunjuk arah ke Planeterium Negara, atau korang klik di sini untuk peta lokasi.
Harga Tiket Planetarium Negara
Kemasukan individu.
- Kemasukan ke bahagian galeri adalah PERCUMA
- Bayaran hanya dikenakan untuk Tayangan Filem iaitu:
- Dewasa 13 tahun dan ke atas: RM 12 (biasa)
- Dewasa 13 tahun dan ke atas: RM 6 (MyKad)
- Kanak-kanak sehinga 12 tahun: RM 8 (biasa)
- Kanak-kanak sehinga 12 tahun: RM 4 (MyKid)
Waktu Buka
- Ia dibuka setiap hari dari pukul 9:00 pagi – 4:30 petang (kecuali ISNIN)
Tiada bayaran dikenakan untuk masuk melihat pameran-pameran di dalam Planetarium Negara. Namun, bayaran dikenakan untuk menonton filem 3D.