Johor Darul Takzim sentiasa menjadi tumpuan dan kunjungan pelancong asing. Terutamanya pelancong dari tanah Singapura.
Banyak tempat menarik di Johor yang menjadi tumpuan para pelancong yang berkunjung ke negeri ini. Anda yang berhajat untuk melawat di sekitar Johor, boleh singgah di tempat-tempat yang kami senaraikan ini.
Kandungan
5. Pantai Stulang Laut Johor Bahru
Pantai Stulang Laut yang terletak di bandaraya Johor Bahru ini sentiasa menjadi tumpuan para pelancong dan juga penduduk disekitarnya. Anda boleh lihat pemandangan negara Singapura daripada kawasan pantai ini.
Ini kerana kedudukan pantai ini yang berhampiran dengan kompleks imegresen dan kastam yang lama, kawasan membeli belah zon bebas cukai, Medan Selera Stulang serta beberapa buah hotel.
Antara hotel yang ada di kawasan ini ialah Grand Blue Wave Hotel, Suria City Hotel dan juga Zone Regency Hotel. Anda nak menginap di sini pun boleh juga.
Memang kawasan pantai ini jadi tumpuan, terutamanya apabila adanya aktiviti keraian yang diadakan di pantai ini.
Sumber gambar: Facebook Saya Orang Johor
4. Pantai Desaru Kota Tinggi
Pantai Desaru yang mendapat gelaran ‘Land of Casuarinas’ kerana sepanjang 25km kawasan pantai ini dipenuhi dengan pokok rhu @ casuarinas. Ia antara tempat menarik di Kota Tinggi Johor.
Pantai ini sentiasa mencuri tumpuan rakyat setempat dan juga pelancong asing. Dengan pesisir pantai yang putih dan air yang jernih, anak-anak kecil memang suka dapat bermain di sini. Orang ramai menggunakan peluang untuk beriadah dan juga berkelah di kawasan pantai ini.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, antaranya ialah mandi pantai, bermain layang-layang, memancing, berkayak, kembara denai, menunggang kuda dan banyak lagi.
Untuk anda yang datang dari jauh, boleh cari penginapan di sekitar Pantai Desaru ini.
Alamat: Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi
Sumber gambar: Facebook Persatuan Bangsa Johor
3. Pantai Air Papan, Mersing
Pantai Air Papan ialah antara pantai yang terkenal di kawasan Mersing. Anda yang berada di kawasan berdekatan, boleh singgah beriadah dan berehat santai di pantai ini.
Anda boleh lakukan aktiviti bersama keluarga seperti bermain layang-layang dan berkayak di sekitar pantai ini.
Jika anda ingin bermalam di kawasan ini, terdapat beberapa buah chalet dan juga homestay di sini. Boleh cari dan pilih ikut kesesuaian bajet anda.
Kawasan pantai ini tidak sesuai untuk dilawati pada musim tengkujuh kerana cuaca, angin yang kuat dan ombak yang kuat dan deras boleh membahayakan nyawa anda.
Jadi, pilih dan atur masa untuk berkunjung ke pantai ini dalam tempoh masa yang selamat.
Sumber gambar: www.orangmuo.my
2. Pulau Pemanggil Mersing
Pulau Pemanggil yang terletak di Mersing ini menjadi tempat pilihan untuk kaki pancing. Walaupun perjalanan ke pulau ini mengambil masa kira-kira 4 hingga ke 5 jam, ia bukanlah halangan untuk adakan aktiviti memancing.
Jika anda gemarkan aktiviti sebegini, boleh lah cari geng untuk memancing disini.
Sumber gambar: 1step1footprint.com
1. Pulau Rawa, Mersing
Pulau Rawa terkenal dengan nama Maldives Malaysia. Pulau kecil dengan lautan membiru ini sentiasa menjadi tumpuan para pelancong yang inginkan percutian yang privasi.
Ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan di pulau ini. Antaranya ialah menyelam ke dasar lautan dan bermain luncur angin.
Selain itu juga, pelancong dapat menikmati keindahan sekitar pulau ini dengan aktiviti mendaki bukit. Nak keliling pulau pun tak perlukan masa yang lama kerana saiz kawasannya yang kecil sahaja.
Jika anda singgah di Mersing, boleh rancang untuk ke Pulau Rawa yang cantik dan nyaman ini.
Alamat: Pulau Rawa, Mersing, Johor.
Sumber gambar: jjtravellingblog.blogspot.com
Anda yang merancang untuk bercuti di Johor, boleh pilih nak melawat kawasan mana terlebih dahulu. Memang banyak tempat menarik di Johor yang boleh anda kunjungi bersama keluarga tersayang.