Korang, nak tahu tak ada sebuah hotel mewah yang terdapat di negeri Melaka Bandaraya Bersejarah? Ianya merupakan sebuah hotel yang terletak di tebing Sungai Melaka, sebuah sungai yang pada masa lalunya sering dipenuhi dengan kapal-kapal dagang dari segala pelusuk dunia.
Hotel ini juga sangat dekat lokasinya dengan Stadthuys yang terkenal dan dibina oleh Belanda pada tahun 1650. Untuk ke tempat-tempat menarik seperti kawasan warisan Jonker Walk dan Heeren juga sangat dekat, boleh berjalan kaki saja. Inilah dia Hotel The Majestic Malacca yang penuh dengan sejarah dan sesuai untuk mereka yang cintakan kepelbagaian budaya.
Sesuai dengan namanya, hotel ini sangat unik terutamanya jika dilihat dari segi seni binanya. Strukturnya agak menarik dan elegan, tampak berbeza dengan bangunan di sekeliling hotel ini. Sebaik sahaja korang jejakkan kaki memasuki pintu masuk hotel ini, korang akan nampak deretan pokok bonsai yang ditrim dengan sempurna menyambut kedatangan korang. Di bahagian lobinya pula dihias dengan lantai Victorian beserta perabot-perabot berasaskan rotan dan hiasan lain dengan sentuhan Peranakan.
Nak tak korang kami ceritakan sedikit tentang sejarah bangunan yang telah berusia kira-kira 90 tahun ini? Bangunan ini pada asalnya merupakan sebuah rumah agam milik seorang saudagar kaya, Leong Long Man pada tahun 1929.
Bagi mencantikkan lagi kediamannya, hartawan tersebut menggunakan jubin Victoria yang diimport, tingkap kaca berwarna, perabot dan kelengkapan yang mahal-mahal nilainya. Namun sayangnya selepas dua tahun mendiami kediaman tersebut, Leong Long Man dan seterusnya kediaman tersebut diwarisi kepada anak lelaki beliau.
Sekali lagi sayang seribu kali sayang, anak Leong Long Man tidak mampu menjaga harta peninggalan warisan bapanya sehingga menyebabkan beliau terpaksa menjual rumah agam ini kepada seorang ahli perniagaan, Lim Heng Fang pada tahun 1955. Melihat keunikan dan potensi bangunan yang tersergam indah ini, Lim Heng Fang memutuskan untuk menjadikannya sebuah hotel di samping mengekalkan ciri-ciri sentimentalnya sehingga kini.
Baca juga tempat bersejarah di Melaka di sini
Walaupun begitu, hotel mewah ini turut dilengkapi dengan kemudahan moden seperti kolam renang, spa dan gym untuk menambahkan lagi tarikannya kepada para pengunjung. Sesuatu yang sangat menarik dan jarang terdapat di mana-mana hotel yang lain, korang berpeluang santai-santai di lobi sambil makan makanan-makanan ringan yang disediakan secara percuma. Wah, best tu!
Dah puas makan-makan, korang dipersilakan menuju ke ruang legar bacaan. Di situ korang bakal rasakan suasana yang penuh dengan ketenangan. Sangat sesuai untuk ambil mood membaca buku kegemaran korang.
Oh ya, korang jangan lepaskan peluang untuk mencuba rawatan spa di Spa Village Malacca, satu-satunya spa yang menggabungkan terapi warisan Cina dan Melayu ataupun Baba Nyonya.
Bercerita tentang bilik pula, setiap bilik dilengkapi dengan hiasan mewah. Kombinasi elegan kemewahan, tradisi dan kemodenan diterjemahkan dalam dekorasi bilik-bilik di sini.
Perabot yang ditempah khas mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan Melaka lama, manakala tingkap-tingkap besar yang dibingkai dengan langsir sutera menjadikan bilik-bilik indah bermandi dengan cahaya lembut. Perabot-perabot yang diperbuat daripada kayu ini juga menampakkan lagi elemen klasik yang menjadi tema hiasan hotel mewah ini.
Paling syok, korang boleh memanjakan diri berendam di dalam tab mandi yang besar sambil bermain mandian buih yang harum. Oh, seronoknya!