5 tempat Menarik Di Menara Berkembar Petronas (KLCC)
Menara Berkembar Petronas KLCC atau lebih sinonim dengan nama Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) merupakan antara bangunan pencakar langit yang tertinggi di dunia.
Mercu tanda Malaysia ini dirasmikan pada tahun 1999. Struktur senibina Islamik yang unik danketinggian menjangkau 451.9 meter dengan 88 tingkat berkembar menjadikan Menara Berkembar Petronas seolah-olah mahkota bersinar di tengah-tengah kotaraya Kuala Lumpur.
Kelihatan gagah disiang hari dan mempersonakan dengan limpahan cahaya diwaktu malam, Menara Berkembar Petronas ini adalah inspirasi dan visi Tun Mahathir Mohamad yang mahu menjadikan Malaysia pesaing antarabangsa dalam apa jua bidang.
Sebut sahaja Menara Berkembar Petronas, korang tentu terbayangkan kompleks membeli belah Suria KLCC, butik, kedai-kedai berjenama dan mewah serta Signature Food Court – Suria KLCC yang menghidangkan pelbagai jenis makanan tempatan dan antarabangsa.
Malahan, Menara Berkembar Petronas turut menawarkan 5 tempat menarik untuk dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Kandungan
Tempat Menarik Di KLCC
1. Sky Bridge dan Tingkat 86 KLCC
Keindahan Kuala Lumpur dapat korang nikmati di Sky Bridge yang terletak di tingkat 41.
Jejantas udara ini menghubungkan kedua-dua menara. Oleh kerana akses ke jejantas ini agak terhad dibuka kepada orang awam, maka korang kena cepat buat tempahan.
Tiket boleh dibeli secara online, yang ini lebih selamat sebab korang boleh tengok dan pilih slot tarikh dan masa yang masih kosong.
Beli secara walk-in pun boleh tapi tertakluk pada kekosongan, kalau lambat, korang akan dapat tiket sebelah malam. Pemandangan sebelah siang tentulah lebih jelas.
Nanti korang akan dibawa ke Sky Bridge dan dibenarkan berada di atas jejantas sepanjang 58 meter pada ketinggian 175 meter ini selama 15 minit.
Selepas itu korang akan ke tingkat 86 pula. Di sini pun best sebab ada teropong, ruang pameran dan boleh lihat menara sebelah.
Tiket Masuk
Umur | Harga (Non-MyKad) | Harga (MyKad) |
Bayi (bawah 2 tahun) | PERCUMA | PERCUMA |
Kanak-kanak (3-12 tahun) | RM 33.00 | RM 14.00 |
Dewasa (13-60 tahun) | RM 80.00 | RM 28.00 |
Warga emas (61 tahun ke atas) | RM 42.00 | RM 14.00 |
Waktu Lawatan
Hari | Masa Lawatan |
Selasa – Ahad Cuti Umum | 10.00 pagi – 6.00 petang (Masa akhir masuk at 5.30 petang) |
Isnin | TUTUP |
Baca juga tempat makan sedap dan menarik di Kuala Lumput di sini
2. Petrosains KLCC
Petrosains KLCC berada di tingkat 4 Suria KLCC. Tempat ni sangatlah sesuai untuk bawa anak-anak sebab banyak sangat mainan interaktif sambil menimba ilmu.
Korang akan dibawa masuk ruang pameran dengan kapsul melalui terowong. Dalam perjalanan itu korang akan didedahkan dengan video pengenalan kewujudan alam semesta. Mula-mula je perjalanan dah rasa teruja, apatah lagi anak-anak.
Macam-macam ada di sini. Korang akan merasai pengalaman berada di pelantar penggerudian minyak, berada di luar angkasa dan juga sejarah dinasour yang dijamin tidak akan membosankan.
Seterusnya korang dibawa ke alam angkasa melihat keindahan cakerawala dan juga dinasour yang sangat dinantikan oleh ramai kanak-kanak.
Untuk melihat dinasour, korang akan melalui Time Tunnel ke Geotime Diorama.
Ia berpusat di sekitar lanskap gunung berapi dimana memberikan perasaan korang kembali ke dunia kuno 200 juta tahun yang lalu.
Di situ, korang akan melihat dinosaur dan makhluk prasejarah lain berkeliaran di bumi.
Pengalaman yang menarik boleh dirasakan dengan melintasi jambatan tali kayu untuk melihat lebih dekat makhluk besar ini dan melihat bagaimana fosil, mineral dan kristal, serta minyak terbentuk.
Tiket Masuk
Umur | Warganegara | Bukan Warganegara |
Kanak- kanak (3-12 tahun) | RM7.50 | RM16.50 |
Bayi (bawah 3 tahun) | PERCUMA | |
Dewasa (13-60 tahun) | RM18.50 | RM28.00 |
Warga Emas (61 tahun ke atas) | RM9.00 | RM14.00 |
Masa Lawatan
Isnin – Jumaat (Tutup Isnin pertama setiap bulan) | 9.30am to 5.30pm (Last Admission : 4.00pm) |
21 Mac, 4 April, 2 Mei, 4 Julai, 1 Ogos, 3 Oktober, 7 November & 5 Disember 2022 | TUTUP pada tarikh ini (Isnin pertama setiap bulan) |
Hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah | 9.30 pagi – 6.30 petang (waktu akhir masuk : 5.00 petang) |
3. Aquaria KLCC
Aquaria KLCC terletak tingkat bawah KLCC.
Kalau korang parking dan masuk ikut Suria KLCC, agak jauh juga nak menapak. Sebenarnya Aquaria KLCC mempunyai parkir tanpa bumbung yang lebih dekat dengan pintu masuk.
Nama pun ‘aqua’, tentulah berkaitan dengan kehidupan marin.
Terowong underwater adalah yang paling menjadi tumpuan semua kerana boleh melihat hidupan laut berenang diatas kepala kita.
Banyak hidupan laut boleh dilihat di sisi kiri dan kanan, serta di bahagian atas kepala. Semuanya besar-besar termasukklah penyu, ikan jerung dan ikan pari.
Ada beberapa aktiviti yang boleh dilakukan di Aquaria KLCC, dan pasti ia akan menarik minat lebih-lebih lagi kanak-kanak. Antaranya Cage Rage, Dive with Shark, Sleep with Shark dan Feeding Sessions.
Harga Tiket
Harga tiket bagi warganegara adalah mulai RM52.00 dan untuk bukan warganegara mulai RM75.00. Sila klik di sini untuk harga dan tempahan.
Waktu Lawatan
Untuk tempahan slot lawatan, sila klik di sini.
4. Dewan Filharmonik Petronas
Adakah korang penggemar teater atau persembahan muzikal?
Kalau ya, korang mesti ke sini sekiranya berpeluang.
Dewan Filharmonik Petronas adalah dewan persembahan yang pertama di Malaysia yang dibina khas untuk persembahan muzik klasikal.
Kecanggihan & kelengkapan dewan ini sering menjadi pilihan artis popular tempatan & antarabangsa mengadakan persembahan seperti orkestra, persembahan muzik klasikal & sebagainya.
Korang boleh semak persembahan dan konsert yang akan diadakan di website rasminya di sini. Memandangkan kebanyakan persembahan adalah yang bertaraf dunia, korang disyorkan untuk buat tempahan di atas talian lebih awal.
5. KLCC Park
KLCC Park menyerikan tapak dan persekitaran Menara Berkembar Petronas dengan taman urban seluas 50 ekar.
Tiada bayaran masuk dikenakan dan kemudahan di sini boleh digunakan secara percuma.
KLCC Park dan dibuka dari pukul 7.00 pagi hingga 10.00 malam.
Ia tempat yang sesuai untuk bersantai bersama keluarga.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, antaranya:
- Mandi kolam cetek sesuai untuk kanak-kanak. Jangan lupa bawa pakaian mandi dan tuala siap-siap.
- Bermain di taman permainan kanak-kanak, hanya bersebelahan dengan kolam kanak-kanak.
- Berjoging dan bersenam.
- Berswa-foto
- Menyaksikan air pancut harmoni pada waktu malam. Ni best tau.
- Berpiknik secara santai. Dibenarkan makan di taman ini. Sila jaga kebersihan ye dan kemas semula sebelum balik.
Begitulah sedikit sebanyak informasi Menara Berkembar Petronas KLCC.
Ianya tempat berhujung minggu yang sesuai diluangkan bersama keluarga.
Boleh la rancang dan sediakan budget sebelum datang. Selamat berlibur!