7 Aktiviti Menarik Di Pulau Kapas
Diberi nama Pulau Kapas kerana pantainya putih bersih dan berpasir halus bagaikan kapas. Pulau Kapas terletak di Terengganu dan jaraknya kira-kira 6 km dari Marang. Bila dan sampai sini, ada banyak aktiviti menarik di Pulau Kapas yang boleh dilakukan bersama family.
Pulau Kapas unik dengan hutan hujan tropika, air laut yang jernih bak kristal, terumbu karang yang cantik dan hidupan laut yang menarik.
Untuk ke Pulau Kapas korang perlu mengambil perkhidmatan bot laju di perkampungan nelayan Marang (Jeti Pulau Kapas, Marang). Caj bot pergi balik ialah RM40 seorang. Jarak jeti ke pulau adalah dalam 6 km dan mengambil masa kira-kira 15 minit. Sekejap je, korang tak sempat nak mabuk laut pun.
Untuk memaksimakan masa percutian korang, dapatkan bot pertama yang berlepas pada pukul 9 pagi dan bot terakhir pada pukul 5.30 petang.
Walaupun keluasan Pulau Kapas kecil sahaja iaitu sekitar 1.5×2.5 km, tetapi ia menyembunyikan banyak khazanah ekobio untuk korang terokai. Jadi, bila dah sampai di Pulau Kapas, tak kan korang nak lepak dalam bilik je kan? Jom lihat 7 aktiviti yang boleh korang lakukan.
Sebelum ke pulau, pastikan korang sediakan semua kelengkapan ini. Jangan sampai terlupa tau.
Pakej bercuti di Pulau Kapas 3H2M hanya bermula RM260.00 boleh tengok di sini
Kandungan
Aktiviti Menarik Di Pulau Kapas
1. Snorkeling dan menyelam
Inilah antara aktiviti paling menarik di Pulau Kapas.
Aktiviti ni memang wajib bila korang pergi mana-mana pulau. Dunia dalam laut yang mesti korang terokai. Terumbu karangnya mempersonakan dan ikan-ikannya yang pelbagai jenis rupa dan berwarna-warni.
Antara hidupan laut yang bakal korang temui ialah belut laut, kerang gergasi, sotong, landak laut, gamat dan banyak lagi. Kalau bernasib baik, boleh berenang bersama-sama penyu.
Seeloknya korang tunggu air pasang untuk bersnorkeling. Sebab kalau air surut, air yang cetek akan mendedahkan banyak terumbu karang. Terumbu karang ni tajam dan malah ada landak laut yang berduri. Jadi agak bahaya dan boleh tercedera akibat tercucuk.
Kemudahan sewa snorkel dan jaket renang ada disediakan dengan RM15-20 untuk satu set. Untuk menyelam, korang kena ada lesen ye.
2. Berkayak – Aktiviti menarik di Pulau Kapas
Dah alang-alang basah tu, korang berkayak la sekali. Boleh pergi jauh sikit. Bayarannya RM20 sejam. Nak berkayak waktu lewat petang pun menarik juga. Sebab pemandangan matahari terbenam kat sini memang sangat cantik.
3. Menjelajah
Pantai di Pulau Kapas dibahagikan kepada 4 pantai utama dan ada tangga yang menghubungkan pantai-pantai ini. Korang bebas menjelajah sambil berjalan kaki dan menerokai pulau ini tanpa risau sesiapa pun yang menghalang.
Masa yang diambil ialah dalam 1-2 jam untuk lengkap satu pulau. Semasa air surut, korang boleh berenang menyeberang ke pantai satu lagi.
4. Berkhemah
Berkhemah tepi pantai pun best tau! Di Pulau Kapas, ada dua tapak untuk berkhemah disediakan iaitu Longsha Campsite dan Lokoloko Campsite. Bayarannya hanyalah RM15-20 semalam. Peralatan khemah juga boleh disewa dengan caj murah. Dapur memasak dan tandas pun ada. Boleh jimat kos penginapan.
Waktu malam korang boleh buat aktiviti BBQ, pasang unggun api sambil bermain gitar dan juga bercerita kenangan-kenangan manis korang. Dalam tak sedar sampai ke tengah malam korang boleh berborak agaknya, punyalah seronok kan!
5. Bermain Bola Tampar Pantai
Peminat bola tampar pantai tentu suka aktiviti ni. Bola tampar adalah permainan utama di Pulau Kapas. Gelanggang bola tampar banyak disediakan di tepi pantai, jadi korang tak perlu nak berebut atau tunggu giliran menggunakannya.
Kalau tak cukup korum nak main, korang join je mana-mana team yang sedang bermain, mungkin masing-masing pun saling tak mengenali antara satu sama lain tapi bersatu kerana sukan, cewah! Lagi best kalau korang bergabung dengan team pelancung asing, tunjuklah skill anak tempatan.
6. Mendaki bukit dan mandi di gua Bukit Singa
Pulau Kapas mempunyai satu bukit yang menjadi ikon kepada pulau ini iaitu Bukit Singa. Ia dinamakan Bukit Singa sebab dari pemandangan sisi, ia menyerupai kepala seekor singa!
Untuk melihat bentuk kepala singa tersebut, biasanya pelancung mendaki bukit di aras yang lebih tinggi yang berhadapan dengan Bukit Singa. Barulah ia kelihatan dengan lebih jelas.
Pemandangan yang luas indah terbentang juga boleh dilihat dari puncak bukit ini. Boleh la korang bergambar sepuas hati di sini.
Seperkara lagi yang menarik di Bukit Singa ialah, ada sebuah gua di situ. Ia terletak di belakang Bukit Singa. Sangat sedikit orang yang tahu kewujudan gua ini.
Di gua ni ada laluan air dan korang boleh mandi di sini! Laluannya agak sempit tapi ia sebenarnya selamat sebab korang boleh berpaut di dinding batu gua.
Guanya tak gelap dan cahaya menembusi hingga ke dasar. Kedalaman airnya lebih kurang 2m dan laluannya pendek je. Apalagi, korang mesti pegi ke gua ni. Tak semua orang sampai di sini tau! Jadi, rakamlah pengalaman yang sangat rare ini.
7. Island Hopping
Perkhidmatan bot untuk aktiviti island hopping juga ada disediakan. Pulau Kapas ni tak ada banyak pulau lain. Yang paling dekat ialah Pulau Gemia, sebuah pulau mewah dan dipunyai oleh individu tertentu. Bot akan membawa korang melintasi dan berlegar-legar di sekitar pulau ini.
Selepas itu korang akan dibawa ke perairan yang dikatakan kawasan tumpuan ikan jerung. Selain itu, korang akan melihat kawasan tebing Pulau Kapas yang berbentuk hati dan melawat gua kelawar.
Walaupun destinasi untuk island hopping ini tidak begitu banyak, tetapi ia cukup untuk membuat korang terpesona dengan keajaiban alam ini.
Senarai Chalet Di Pulau Kapas, Resort atau Campsite
Bagi tak puas berada di sini dan ingin bermalam di Pulau Kapas, berikut ialah senarai penginapan yang ada:
- Lokoloko Campsite
- Kapas Island Resort
- Captain’s Longhouse
- Pak Ya Sea View cafe and Chalet
- Kapas Coral Beach Resort
- Ombak Kapas
- Qimi Private Bay
- Longsha Campsite
Banyak lagi sebenarnya aktiviti yang korang boleh lakukan di Pulau Kapas, seperti berjalan di atas pasir yang halus, melawat rumah api, mandi pantai, melihat burung hantu, bermain buai dan food hunting – tapi korang kena bersedia dengan duit tunai yang agak banyak la, sebab harga makanan 2-3 kali ganda lebih mahal.
Marilah datang bercuti di Pulau Kapas. Sebagai day-trip pun boleh kerana perjalanan bot sekejap sahaja.