Let’s travel together.

7 Hotel Mesra Alam Sekitar – Nikmati Percutian Go Green

0 387

Untuk yang mencari hotel mesra alam sekitar, boleh baca post kat bawah ni ye…

Alam sekitar adalah satu anugerah Tuhan yang sangat penting bagi manusia. Jadi, sangat wajar untuk kita menjaga juga memelihara kebersihan & fungsi alam sekitar. Supaya ekologi dan habitat yang sihat dapat dikekalkan.

Untuk mewujudkan persekitaran yang sihat dan terjaga ekologinya, inisiatif hotel mesra alam sekitar dilaksanakan.

Bagi korang yang belum tahu, di Malaysia pun terdapat hotel yang mesra alam sekitar. Korang boleh consider untuk bercuti ke tempat-tempat begini sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pihak berkenaan.

Kandungan

7 Hotel Mesra Alam Sekitar di Malaysia

1. Hard Rock Hotel – Desaru

Sumber : Facebook

Hotel mewah ini antara hotel yang bersungguh-sungguh melaksanakan konsep go green untuk persekitarannya. Terbaru, hotel yang terletak di Desaru ini turut serta dalam kempen ‘Earth Hour’.

Sebahagian besar Hard Rock Cafe Desaru ini bergelap selama 1 jam. Lampu di bahagian lobi, restoran, bar dan kawasan umum dimatikan dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam. Tujuannya untuk meminimakan penggunaan elektrik.

Biarpun hanya 1 jam, namun usaha ini menunjukkan komitmen pihak hotel dalam menjamin kelestarian alam.

Senarai resort mengadap pantai boleh tengok di sini

Selain itu, pihak hotel juga turut memanfaatkan lebihan sisa makanan terbuang untuk dijadikan baja organik. Baja organik ini kemudiannya digunakan untuk menyuburkan tanaman herba secara kecil-kecilan pihak hotel.

Lebih menarik, pihak hotel membuat proses kitar semula cadar dan sarung bantal lama untuk dijadikan beg tote. Korang sebagai pengunjung boleh membuat beg sendiri mengikut karya & idea masing-masing.

Untuk menunjukkan komitmen yang tak berbelah bahagi, pihak hotel Hard Rock Cafe Desaru ini juga menggantikan penggunaan botol plastik kepada botol flask tahan karat. Para pengunjung boleh mengisi air di 25 stesen air yang tersedia di sekitar hotel.

2. Alunan Resort – Pulau Perhentian

Sumber : Alunan Resort

Terletak di Pulau Perhentian Kecil, Alunan Resort ini merupakan sebuah pusat peranginan mesra alam yang tersegam indah di atas lereng bukit berbatu-batuan. Kedudukannya menghadap Laut Cina Selatan nan biru serta dikelilingi hutan rimbun nan menghijau, cukup indah sekali!

Kalau korang ke sini, pasti korang akan perasan kesemua bilik suite di resort ini sangat unik. Ia dibina mengikut landskap semula jadi pulau tersebut. Tujuannya supaya ekologi setempat tidak terganggu.

Setiap suite mempunyai bumbung private yang terbuka dan juga sebahagian dinding kaca. Korang boleh sakisikan sendiri pemandangan alam semulajadi di sekeliling resort terus melalui suite.

Untuk menunjukkan komitmen memulihara alam sekitar, pihak Alunan Resort melancarkan Projek Batu Karang Alunan.

Sumber : Alunan Resort

Sebagai pengunjung, korang boleh turut serta membantu projek ini dengan cara mempelajari asas-asas penting untuk melindungi terumbu karang dari rosak dan musnah.

Selain itu, pusat peranginan ini juga tidak menggunakan plastik pakai buang. Kalau korang nak minum, ada botol air dan juga straw logam disediakan. Pengunaan alat yang boleh diguna semula ini sebagai tanda prihatin terhadap alam sekitar.

3. Sutera Sanctuary Lodges – Taman Kinabalu

Terletak di Taman Kinabalu, salah satu tapak Warisan Dunia UNESCO yang pertama di Malaysia. Sutera Sanctuary Lodges merupakan sebuah pusat percutian yang sangat menjaga alam semulajadinya.

Untuk pengetahuan korang, hotel ini meraih beberapa anugerah yang melambangkan komitmen tinggi pihak hotel terhadap alam semulajadi.

Antaranya Anugerah Hotel Mewah Dunia (World Luxury Hotel Awards) pada tahun 2020 untuk perkhidmatan dan amalan-amalan mesra alam. Korang sebagai pengunjung di pusat peranginan ini pasti dapat menikmati keindahan alam semula jadi dengan selesa dan santai di sekitarnya.

Dengan diversiti ekologi yang mengagumkan di Taman Kinabalu, pihak hotel juga sangat menggalakkan para tetamu mengamalkan langkah-langkah mesra alam. Antaranya penggunaan semula tuala untuk elak pembaziran air dan ingatan mesra untuk menutup lampu-lampu yang tidak digunakan.

Selain daripada itu, para pengunjung juga boleh melakukan aktiviti eko-pelancongan yang mesra alam seperti mendaki Gunung Kinabalu atau bersiar-siar di hutan dara sekitar pusat peranginan.

4. Hotel Penaga – Pulau Pinang

Hotel ini bermula dengan tiga barisan rumah teres dan rumah kedai dua tingkat. Ia kemudiannya dipulih dan dibina semula menggunakan bahan-bahan kitar semula.

Sisa-sisa runtuhan bangunan-bangunan di Pulau Pinang dijadikan atap genting hotel manakala struktur lantainya diambil dari sisa runtuhan bangunan-bangunan era penjajahan dari serata Semenanjung Malaysia.

Jika menginap di sini, korang akan perasan tentang penggunaan lampu LED yang lebih jimat elektrik. Hotel ini juga lengkap dengan sistem yang boleh memutuskan bekalan elektrik apabila korang tiada di bilik.

Lebih unik, kolam renang di hotel ini menggunakan air garam yang dapat mengelakkan penggunaan bahan kimia dan semua sisa buangan biorosot dari dapur dikitar semula untuk menghasilkan bahan baja.

5. Hotel Element – Kuala Lumpur 

Hotel Element Kuala Lumpur (Hotel Element) diperkenalkan Marriot International Inc. sebagai hotel mesra alam yang pertama di Asia Tenggara. Hotel ini menawarkan pengalaman baharu kepada tetamu melalui konsep dan keunikan tersendiri.

Konsep utamanya yang bersifat mesra alam sangat sesuai bagi pelanggan yang gemarkan suasana moden tetapi masih mengekalkan kelestarian alam.

Amalan-amalan mesra alam yang dipraktikkan di hotel ini seperti penggunaan lampu LED, ken­deraan elektrik, bahan organik dan barangan kitar semula dapat menjamin kelestarian alam dalam operasinya.

6. Mangala Resort & Spa – Kuantan

Sumber : Facebook

Mangala Resort & Spa yang terletak di Kuantan ini asalnya sebuah tapak lombong tinggal. Selepas dibaik pulih jadilah ia tempat percutian yang aman damai lagi menghijau.

Terdapat deretan vila-vila indah yang dikelilingi ladang kelapa sawit, taman bunga dan herba eksotik, dusun buah-buahan, tasik yang telah dipulihkan serta kawasan tanah lembap yang belum diterokai.

Sumber : Facebook

Bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, peralatan dan sistem tenaga hijau digunakan. Di resort ini, penggunaan sistem kad kunci untuk memadamkan lampu bilik, penentu masa untuk lampu dan alat pendingin hawa yang jimat tenaga digunakan.

Bagi menjaga ekosistem setempat, korang akan dibawa menggunakan kereta buggy. Basikal juga disediakan untuk tetamu. Sebagai pengunjung resort ini, korang juga dilarang memburu, memancing atau membunuh hidupan liar di sekitar kawasan resort.

Pihak resort juga cukup suka kalau korang berminat dengan aktiviti pemuliharaan alam semula jadi. Untuk itu, aktiviti seperti lawatan eko Mangala dan berjalan kaki untuk meneroka alam semula jadi (Nature Walk) diperkenalkan.

7. The Datai – Langkawi

The Datai terletak di hutan hujan tropika yang berusia 10 juta tahun dan menghadap Teluk Datai yang indah. Ianya hasil gabungan kelestarian, kemewahan dan layanan istimewa dalam satu pakej yang unik.

Antara praktis yang dilakukan oleh pusat peranginan ini bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar ialah penggantian semula pokok-pokok yang ditebang semasa pembinaan. Lebihan pokok-pokok tidak terus dibuang malah digunakan untuk membina bilik suite atau vila.

The Datai Langkawi juga ada melancarkan Ikrar Datai (Datai Pledge) yang merupakan sebuah program dengan inisiatif dan komitmen menjaga serta memelihara alam sekitar.

Korang datang lah ke sini dan nikmati pemandangan pusat peranginan yang dipenuhi hutan hujan & seni bina yang mengagumkan. Para tetamu di The Datai boleh mendekati alam semula jadi dengan selesa sekali.

Tawaran pelbagai jenis penginapan dari vila tepi pantai hingga ke suite yang luas dalam hutan hujan ini pasti memberikan pengalaman yang menarik untuk korang lebih dekat dengan alam sekitar.

Leave A Reply

Your email address will not be published.

Panduan Percuma

Cara booking bilik/homestay dengan harga murah dan cepat

Link panduan akan dihantar terus ke emel korang ye...

Kupon Voucher Untuk Booking Hotel

Dengan Harga Murah